
Teruja. Itulah perasaan saya sebagai seorang ibu, dan itu juga perasaan Farish Ian Hakim Mahadi pertama kali melangkah ke sekolah. Wajah dan rupa tadika Joy House tidak begitu sofistikated atau benar-benar sempurna walaupun saya sebenarnya inginkan sesuatu yang sempurna untuknya. Tetapi saya yakin tadika yang sederhana dari sudut 'rupa paras' nya ini hampir sempurna dari sudut silibus dan pendekatan islamic sebagaimana yang saya mahukan.
Joy House adalah sekolah pertama Farish, juga pengalaman pertama baginya. Sebagai tanda sokongan dan harapan saya sebagai ibu, di hari pertama persekolahannya saya meluangkan masa menghantarnya ke sekolah, walaupun Farish meminta saya untuk tidak berbuat begitu. Katanya cukuplah dia ke sekolah dengan 'auntie Miah' (jiran kami yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan ke sekolah bagi anak-anak kami yang menetap di Taman Melawati) tetapi saya mahu apa yang saya lakukan hari ini adalah sebahagian pengalaman dan kenangan Farish di masa hadapan. Farish nampaknya sangat gembira ke sekolah. Saya tidak nampak apa-apa masalah dari segi pembelajaran dan penerimaannya terhadap persekitaran dunia 'sekolahnya'.
Harapnya saya telah melakukan sesuatu yang baik, tepat dan sempurna untuk Farish. Pemilihan sekolah pertamanya ini menjadi titik mula dalam dia menimba sebanyak mungkin ilmu dan menyempurnakan ilmunya itu bagi menyumbang sesuatu yang berharga untuk dirinya, keluarganya, agamanya, bangsanya dan negaranya.
1 comment:
Wah...dah sekolah dah dia...tapi yang mane satu eh...kak...len kali letak la gambar....baru la orang leh menilai..& comment...tol tak...
Post a Comment