Sunday, December 21, 2008

Ibu Anugerah Paling Besar

Sebagaimana anak, ibu juga adalah anugerah Allah s.w.t yang paling berharga yang perlu dijaga, ditatang, disayang, dicinta dengan segala-galanya perasaan yang kita ada(dalam konteks ini yang positif saja). Kerana dalam kata yang mudah, pendek, ringkas: SYURGA ITU DI BAWAH TELAPAK KAKI IBU. ini saya bukan petik dari lagu penyanyi Aisyah tetapi prosa ini terdapat dalam hadis sahih Rasulullah s.a.w dan Rasulullah adalah manusia yang paling bercakap benar. ringkasan cerita, saya menerima seorang tetamu warga emas yang katanya 'dibuang oleh anak dan menantu barunya'. Saya tersentak dan benar-benar terusik. Dalam dunia yang sebegini maju, fikiran manusia semakin terbuka untuk banyak perkara, ramai yang sudah bergelar terpelajar dan profesional; masih lagi rupanya ada yang membuang ibu bapa mereka. Zalim, jahil atau apakah mereka ini?...lalu saya terus mengangkat doa kepada Allah s.w.t, janganlah sesekali saya diuji sebegini, janganlah saya diuji dengan menderhakai seorang bernama ibu. Sungguh, saya tidak sanggup menyakiti ibu apatah lagi 'membuangnya' jauh dari sudut hati.

Bagaimana buruk atau terukpun ibu kita, dia adalah orang yang melahirkan kita ke muka bumi ini, sungguhpun kalau kita tersentuh dan terluka dek perbuatannya, kita adalah orang yang datang darinya...(saya akan sambung nanti...feeling saya lari)

Tahun Baru 2009

Sedar tak sedar, diam tak diam tahun 2008 akan ditinggalkan tidak beberapa hari lagi, bila diselak, direnung, ditimbang,dikenang-kenangkan seolah-olah 12 bulan seperti 20 hari atau 25 hari sahaja. Dan seperti biasa bagi sesetengah orang termasuk saya kita akan senaraikan azam untuk tahun baru, tak kira sama ada azam itu akan kita laksanakan atau sebaliknya...Tapi saya banyak belajar tentang hal ini sejak sekian lama, setiap tahun terus memasang niat (sekurang-kurangnya setiap tahun saya ada juga niat dan perancangan untuk tahun yang akan tiba itu), tetapi setiap tahun juga saya akan pastikan niat saya akan tercapai walaupun untuk satu, dua kejayaan sahaja. Ini kerana adalah sangat malang bagi kita kalau hanya setiap tahun memasang niat, mencipta cita-cita, membina harapan tetapi segalanya dibiarkan berlalu dibawa masa dan waktu begitu sahaja.

Tahun 2008 banyak mencatat pelbagai suka duka dalam lanskap kehidupan dan saya ingin mengucap tahniah kepada sesiapa sahaja yang berjaya melalui apa juga dugaan, ujian dengan bertunjangkan ketabahan, kesabaran, keikhlasan dan apa juga sifat baik yang lain. Moga-moga 'kesakitan' yang kita lalui itu menjadikan kita benar-benar 'manusia' dan makhluk yang makin tinggi tahap keimanannya. Begitu juga bagi kita yang dianugerahkan kejayaan demi kejayaan dan rezeki yang melimpah, moga-moga menjadikan kita manusia yang lebih rendah hati, rendah diri dan rendah jiwa dari segala sifat riak dan takbur dan segala sifat buruk lain, kerana sifat-sifat inilah yang membezakan kita dengan yang lain.

12 bulan dalam tahun 2008 segalanya seperti baru semalam, masih sangat segar rasanya, dan setiap yang dilalui masih tercuim dan terhidu lagi manis dan kelatnya, apapun saya benar- benar bersyukur dengan segala anugerahNya yang cukup besar sehingga tidak mampu untuk saya terjemahkan. Terima kasih untuk suami yang menyediakan apa juga keperluan dan apa juga yang saya inginkan, sebenarnya ini semua anugerah Allah untuk kami.

2009; novel pertama saya bertajuk Zaara Iman akan berada di pasaran, saya jangkakan pada Mac nanti. Selamat membaca.

Saturday, December 20, 2008

....Dari dalam konti

Jumaat, 6.00am saya memulakan tugas sebagai penyampai atau bahasa mudahnya DJ untuk radio IKIM.fm, seperti biasa saya akan tetap lakukan tugasan dengan sepenuh hati, jiwa dan raga kerana minat yang mendalam dalam bidang penyiaran. Setiap Jumaat saya akan berkolaborasi bersama rakan Mazlina Ismail tetapi dalam masa dua bulan sepanjang Mazlina bercuti bersalin adakalanya saya 'menarik' Ahmad Nazri dan sesekali Rohani (Kak Ani). Hebat berkerja bersama mereka, dan yang paling saya kagumi kedua rakan konti saya ini:MAZ dan NAZ, mereka akan membuat wake up call kepada saya seawal 4.30 pagi, kerana alarm saya selalu tidak berfungsi, tetapi begitulah, kalau mereka ini juga 'terlajak', maknanya saya juga akan 'terlajak'.
Slot di hari Jumaat selain membuka ruangan ucapan Salam Jumaat, kami juga memilih satu topik berkaitan sifat-sifat mahmudah(baik) yang sepatutnya ada, kekal, utuh, kuat dan sentiasa mengakar dalam diri orang-orang yang agama Islam. Ada juga pada satu Jumaat, kami kemukakan topik tentang solat; bagaimana solat mendidik kita untuk menjadi benar-benar seorang mukmin. Banyak saya dapat reaksi daripada pelbagai latar belakang pendengar, dari yang bergelar ustaz sehinggalah surirumah yang rata-rata menyumbang kepada ilmu agama yang kadang-kadang kita terlepas untuk mendapatnya.
Bagaimanapun setiap kali selepas bertugas (konti), saya sering juga gelisah dan sesekali resah:adakah apa yang kami kongsikan, bincangkan, kupaskan memberi kesan yang benar-benar mendalam kepada kami semua?, atau ianya hanya berakhir di situ sahaja, atau apakah pendengar-pendengar lain yang tidak menyertai perbincangan kami juga terkesan dengan apa yang kami perkatakan atau kita ini hanya sekadar membaca Firman atau hadis sahaja tetapi tidak diseiringkan dengan amal perbuatan?. Ini kerana saya masih lagi ketemu dengan orang-orang yang tebal benar sifat iri hatinya, fitnahnya, sombongnya, riaknya dan kalangan mereka ini adalah orang-orang yang mendukong institusi Islam. Lalu saya merasa ingin sangat keluar dari 'daerah' ini supaya saya tidak lagi tersempit dengan 'resah dan gelisah' ini.

Friday, December 19, 2008

TERIMA KASIH TEKNOLOGI

Terima kasih untuk sebuah mini pc (notebook), selepas ini insyaallah semakin kayalah blog ini dengan cerita-cerita menarik untuk tatapan rakan-rakan dan semua kenalan. Kini saya boleh menulis di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja. Paling menarik pc ini lebih kecil dari handbag saya, jadi mudahlah saya membawanya kemana-mana seperti juga saya membawa powder compact, lipstik dan broadband.

Thursday, December 04, 2008

Selamat Berjumpa







Assalamualaikum warahmatullah hi wabarakatuh, dan salah sejahtera. Selamat berjumpa melalui blog saya ini. Telah beberapa kali saya memikirkan untuk memulakan blog ini sebagai wadah untuk saya melahirkan pemikiran dan menyumbang sesuatu yang bermakna kepada kesejahteraan manusia disamping memenafaatkan teknologi maya (vertual technology) yang begitu kompleks dan sentiasa berkembang itu.

Untuk rakan taulan dan orang-orang yang dapat menjangkau halaman blog ini saya berharap anda dapat menyumbang pandangan dan komen yang konstruktif yang boleh membawa nilai baik untuk kesejahteraan manusia sejagat.

Keutamaan bagi saya ialah tentang sesuatu yang mempunyai "human interest" dalam kandungan, dan sesuatu yang menunjukkan kejayaan kita sebagai manusia di muka bumi ini.